MONOLOG CANTIK DENGAN IBU:Buat Puteriku Sayang
AKU: Anehkah cantik yang ingin ku miliki?Biarlah tak punya muka sebujur sirih,pipi juga bukan pauh dilayang, dagu bukan lebah tergantung,
hidung pun tak mancung bagaikan seludang, mata tidak mengerdip bagaikan bintang timur,
bibir juga tidak seperti delima merekah, kening juga tidak seumpama semut beratur,
rambut pun tidak mayang mengurai, jari-jemari tidak seperti buluh diraur,
kulit juga tak semulus kulit telur dikupas dan betis pun tak seperti si padi yang bunting…
IBU: Alhamdulillah anakku, akhirnya kau tahu apa yang kamu mahu. Kerana sanggup menepuk iman di dada untuk bertanya kemahuan selera.
Tidak rugi jika bukan itu yang kau mahu. Kerana kehidupan ini adalah jalinan murni kecantikan yang hakiki. Yang indah itu amalan agamamu dijalin dalam simpulan akhlak yang sempurna mewangi. Serikan wajahmu dengan siraman air sembahyang lima waktu dalam munajat yang tak kunjung henti. Hiruplah nafas kehidupanmu dalam pancaran hidung kurniaan Allah tercantum dalam taruhan akal dan budi.
Tebarkan senyumanmu segenap penjuru alam kerana itulah sedekah paling utama, pancarkan sinar indah dari kedua matamu betapa agungnya alam ciptaan Ilahi sambil menjengah besarnya kurniaan ini buatmu…
Kerana melaluinya boleh kau kenal mata hati yang abadi. Sebarkan pula dari kedua bibirmu dengan kalimah zikir sambil menyampaikan yang indah dan elok untuk dicerna fikiran zuriatmu.
Yang pasti rambut hiasan mahkota diri dan susuk tubuhmu bukan untuk dipertontonkan di khalayak ramai kerana melindungi auratmu itu kewajipan yang mesti untuk kaum Hawa.
Mengertilah wahai puteriku sayang,
Menghurai cantik yang hakiki tidak semudah menghurai simpulan tali
Kerana ia bermula dari untaian cinta dan takwa kepada penciptamu Yang Maha Mengerti
0 Kata Mereka:
Post a Comment